Esei

PENULISAN ILMIAH

‘ISU-ISU KESELAMATAN DI

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA KAMPUS BANGI’

Disediakan oleh :

Nur Faika Binti Mohd Razali A137154

Aini Liyana Binti Mohd Zailan A136709

Zaihan Binti Mat Hussin A137093

PENGENALAN

Memandangkan kebanyakan institusi pengajian tinggi menempatkan pelajarnya untuk tinggal di dalam kampus, persekitaran pembelajaran yang terancang adalah sangat penting untuk dipertimbangkan (Castaldi, Basil., 1977). Lebih-lebih lagi, kualiti persekitaran  merupakan antara kriteria yang penting dalam menentukan universiti yang hendak dipilih.

Suasana keamanan dan keharmonian di dalam kampus sememangnya mempengaruhi kehidupan mahasiswa dan mahasiswi yang berada di dalam kampus. Sekiranya kawasan kampus berada dalam lingkungan yang aman, pelajar dapat menjalani proses menimba pengetahuan dengan selesa namun jika sebaliknya, pelajar proses pembelajaran pelajar akan terganggu. Secara umumnya, hal ini dapat dikaitkan dengan isu keselamatan dalam kampus.

Keselamatan dapat didefinisikan sebagai perihal selamat, kesejahteraan atau keamanan. Keselamatan juga bermaksud keadaan terlindung daripada masalah fizikal, sosial, kewangan, politik, perasaan, pekerjaan, psikologi, pelajaran dan perkara-perkara lain yang melibatkan kerosakan atau kejadian yang tidak diingini. Hal ini juga termasuk dalam konteks terlindung daripada sesuatu malapetaka atau kejadian yang berkaitan dengan kesihatan dan ekonomi. Keselamatan juga terbahagi kepada beberapa bidang iaitu keselamatan pengguna, keselamatan masyarakat, keselamatan pekerjaan dan keselamatan negara. Isu keselamatan kampus pula dapat dikelaskan di dalam keselamatan pengguna.

Walaupun keselamatan di dalam kampus dipertanggungjawabkan kepada Bahagian Keselamatan, tetapi pada hakikatnya adalah merupakan tanggungjawab bersama semua warga kampusnya sama ada kakitangan atau pelajar. Individu yang memiliki sikap tidak ambil peduli terhadap hal-hal yang boleh menggugat keselamatan merupakan sebahagian daripada ancaman besar kepada keselamatan. Oleh yang demikian, dengan kerjasama yang erat dan persefahaman dari setiap individu yang akan menentukan terjaminnya kedamaian dan kebahagiaan hidup di kampus ini. Seperti kampus di dalam Universiti Kebangsaan Malaysia, isu-isu keselamatan pelajar yang timbul misalnya kes ragut dan kemalangan yang membabitkan bas yang membawa pelajar dalam kampus.

Namun, tidak semua hal-hal yang boleh menggugat keselamatan dalam kampus dapat diuruskan oleh perkhidmatan keselamatan kerana terdapat isu ancaman keselamatan pelajar berpunca daripada bencana alam semula jadi. Misalnya kejadian tanah runtuh yang berlaku di Universiti Kebangsaan Malaysia, Kampus Bangi.

1.0  KEMALANGAN

Kemalangan bermaksud kejadian secara tiba-tiba, tidak dijangka, tidak biasa berlaku, dan kejadian yang tertentu yang terjadi pada masa dan tempat yang boleh dikenal pasti dan yang berlaku secara sendiri tanpa sebarang unsur lain, menyebabkan kecederaan badan yang berkenaan. Maksud lain kemalangan adalah peristiwa malang yang berpunca daripada kecuaian dan kejahilan; atau peristiwa yang berlaku secara tidak sengaja atau akibat sebab tidak diketahui.

Kemalangan di negara kita semakin bertambah dari tahun ke tahun. Slogan yang disarankan oleh kerajaan seperti “ Jangan biarkan keluarga anda menunggu dalam tangisan” dan “Jangan jadikan jalan raya sebagai tempat berlumba” untuk menjadikan pemandu di negara ini lebih cermat dan berhemah ketika memandu tidak ubah seperti mencurahkan air ke daun keladi. Hal ini demikian kerana, isu kemalangan jalan raya terus meningkat dari semasa ke semasa. Kecenderungan ke arah peningkatan jumlah kemalangan ini semakin bertambah dan membimbangkan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kemalangan jalan raya saban tahun semakin meningkat dari hari ke hari. Setiap hari sama ada di kaca-kaca televisyen, di dada-dada akhbar mahupun di corong-corong radio pasti ada sahaja dipaparkan kemalangan jalan raya yang meragut nyawa manusia. Terlalu murahkah nyawa manusia sehingga banyak jiwa yang terkorban di jalan raya? Jika hal ini dibiarkan berterusan, sudah tentu merugikan sesebuah negara. Oleh itu, punca-punca kemalangan jalan raya perlu dikenal pasti dari masa ke masa.

Punca yang paling signifikan penyebab berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu itu sendiri. Hal ini disebabkan pemandu bersikap mementingkan diri, tidak sabar ketika berada di jalan raya dan tidak mematuhi peraturan jalan raya. Sebagai contoh, pemandu kenderaan memandu kereta dengan laju tanpa mematuhi had laju yang dibenarkan. Secara tidak langsung, pemandu bukan sahaja mempertaruhkan nyawa sendiri malah nyawa pengguna jalan raya yang lain. Oleh itu, sikap berhati-hati di jalan raya dan “Biar Lambat Asal Selamat” akan dapat menghindarkan kemalangan maut daripada berlaku.

Punca seterusnya penyebab berlakunya kemalangan jalan raya ialah Keadaan struktur jalan raya. Keadaan jalan raya yang berlubang-lubang, sempit dan rata sudah pasti mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya. Sebagai contoh, jalan raya yang bengkang-bengkok, selekoh tajam akan memudahkan pemandu yang tidak biasa jalan tersebut terbabas dan terlibat dalam kemalangan jalan raya. Oleh itu, pihak kerajaan perlu mengambil inisiatif segera memperbaiki struktur jalan raya yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya.. Tegasnya sebelum nasi menjadi bubur, struktur jalan raya perlu diberi keutamaan terlebih dahulu agar keselamatan pengguna-pengguna jalan raya terjamin.

Keadaan kenderaan yang tidak diselenggarakan dengan baik juga menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya. Keadaan kenderaan yang tidak diselenggarakan mengikut jadual yang telah ditetapkan boleh mengundang malapetaka kepada pemandunya. Sebagai contoh, brek kenderaan yang tidak berfungsi dengan baik akan menyebabkan pemandu sukar mengawal kenderaan ketika saat-saat kecemasan. Impaknya, pemandu akan mudah tersasar dan berlakunya kemalangan jalan raya ketika ingin menghentikan kenderaan secara kecemasan. Jelaslah, kenderaan hendaklah diselenggarakan dengan baik sebelum memulakan perjalanan yang jauh kerana malang tidak berbau.

Penguatkuasaan undang-undang yang lemah juga merupakan salah satu punca berlaku kemalangan jalan raya. Dendaan dan kompaun sebanyak RM300 bagi kesalahan berat seperti memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah tidak berkesan kerana pemandu mampu bayar. Selain itu, Ops Sikap dan sekatan jalan raya hanya giat dijalankan ketika musim-musim perayaan. Impaknya, pemandu tidak gentar melakukan kesalahan di jalan raya kerana mereka mampu membayar denda yang dikenakan dan beranggapan operasi hanya dilakukan pada waktu-waktu tertentu sahaja.  Jadi, penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas dan pemantauan di kawasan berbahaya hendaklah diambil untuk mengelakkan daripada berlakunya kemalangan maut.

Semua pihak perlulah bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi menangani isu kemalangan jalan raya ini. Segala usaha yang dilaksanakan hendaklah berterusan dan istiqamah bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam ataupun sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Jangan sampai sudah terhantuk, baru nak terngadah, barulah inisiatif dirangka untuk mengatasi kemalangan jalan raya. Isu kemalangan ini tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja kerana impaknya sangat besar kepada negara terutamanya kerugian sumber tenaga yang produktif. Slogan Pandu Cermat Jiwa Selamat hendaklah dijadikan pedoman bagi semua pengguna jalan raya agar nyawa mereka terselamat. Ingat, jangan jadikan lebuh raya sebagai gelanggang perlumbaan mahupun pusara kerana nyawa manusia merupakan satu anugerah yang perlu dihargai.

Isu keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Kampus Bangi yang ingin di utarakan adalah berkaitan berlakunya beberapa kemalangan yang melibatkan perkhidmatan bas yang berkhidmat di bawah kampus untuk menghantar, membawa dan mengambil pelajar dari fakulti dan pelbagai tempat di dalam kampus. Perkhidmatan bas Trans Rengit ini adalah secara kontrak di bawah Unit Kenderaan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Semenjak pertukaran kontrak perkhidmatan bas sebelum ini kepada perkhidmatan bas Trans Rengit, pelbagai isu kemalangan timbul dari semasa ke semasa. Hal ini sememangnya menimbulkan kebimbangan khususnya kepada pelajar yang sememangnya bergantung pada kenderaan tersebut untuk bergerak.

Berikut merupakan antara isu yang dibangkitkan oleh pihak pelajar berkaitan ancaman keselamatan daripada perkhidmatan bas tersebut :

Terbaru, pada pagi Sabtu yang lepas bersamaan 15 Disember 2012, dua buah bas Trans Rengit dilaporkan kemalangan di persimpangan Pusat Pengajian Umum (PPU). Kemalangan tersebut berlaku kerana rempuhan belakang yang dilakukan oleh bas Trans Rengit terhadap sebuah bas yang kerosakan di tepi jalan, berhadapan PPU. Punca kemalangan disebabkan brek yang tidak berfungsi dengan baik.

Sehingga kini, tiga kemalangan yang melibatkan Bas Trans-Rengit, perkara ini dilaporkan melalui sumber Majlis Perwakilan Pelajar (MPP),  Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), Arief Othman. Perkara ini sangat membimbangkan kerana dalam tempoh  tiga bulan perkhidmatan bas Trans Rengit ini berlangsung, banyak kemalangan yang dilaporkan. Meskipun aduan telah dipanjangkan kepada pihak Trans Rengit, namun keputusannya mengecewakan.

Beberapa siri pertemuan bersama pentadbiran UKM telah dijalankan, namun tiada tindakan yang keras dilaksanakan bagi mengekang fenomena kemalangan ini. Maklum balas Mahasiswa di laman-laman sosial dapat kita lihat sememangnya mereka berharap pentadbiran melakukan sesuatu dengan lebih pantas. Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM), khuatir jika kes ini berlarutan tanpa kekangan pihak berwajib, perkara yang lebih buruk bakal menimpa mahasiswa.

MPP Arief Othman turut menegaskan bahawa PMUKM tidak teragak-agak untuk membawa kes ini ke peringkat yang lebih tinggi sekiranya tindakan bermuka-muka pihak pentadbiran UKM ini berlarutan. Arief Othman turut menegaskan agar diadakan sesi dialog melibatkan mahasiswa UKM bersama pengurus perkhidmatan bas Trans Rengit.

Dalam pada itu, GMUKM kesal kerana terdapatnya kewujudan sebuah page We Love Trans-Rengit yang mencerminkan peribadi seorang pencaci. Komen mereka terhadap tindakan GMUKM seperti tidak bersyukur dengan perkhidmatan yang sedia ada sangat tidak berasas sama sekali. Barangkali mereka ini tidak kisah sekiranya ahli keluarga mereka sendiri menerima musibah akibat daripada perbuatan orang mereka sendiri.

Sehubungan itu, Haziq Asyraf selaku Pengerusi GMUKM menegaskan bahawa GMUKM menolak 100% kewujudan bas Trans-Rengit di bumi UKM. Ini kerana kes ini mengancam keselamatan semua pihak yang menggunakan jalan raya, baik mahasiswa mahupun kakitangan UKM.

Slide1

2.0  KES RAGUT

Ragut membawa maksud menarik, menyentak, mencabut secara paksa atau dengan kekuatan. Kejadian ragut yang sering menjadi-jadi merupakan satu jenayah yang amat mengejutkan buat masyarakat kita. Kekerapan jenayah ini membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak betul dalam masyarakat kita dewasa ini. Media massa menghuraikan pelbagai faktor yang mendorong kejadian ini bersama-sama langkah untuk menanganinya tetapi jumlah kes ragut terus meningkat saban tahun.

Sebenarnya jenayah ragut ini menjadi begitu menjadi-jadi ekoran sikap masyarakat itu sendiri yang tidak memberi perhatian berat tentang aspek keselamatan mereka. Masih banyak individu dalam masyarakat kita yang suka membawa wang yang banyak dalam dompet atau tas tangan mereka dan ini menjadi sasaran peragut. Begitu juga dengan sikap kita yang gagal mengambil langkah-langkah keselamatan apabila pulang dari pejabat bersendirian, berjalan di lorong yang gelap, atau mudah percaya akan orang asing menjadikan kita sasaran mudah peragut. Jadi, aspek keselamatan diri yang kurang diberi perhatian telah menyebabkan ragut semakin menjadi satu kebiasaan di negara ini pula.

Malah, kejadian ragut turut diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang mengalami kegawatan ekonomi yang begitu teruk. Banyak kilang dan syarikat di negara ini yang terpaksa membuang pekerjanya kerana kekurangan permintaan terhadap produk mereka dengan drastik. Ketidakupayaan pekerja yang dibuang kerja itu untuk mencari kerja lain dalam masa yang terdekat telah menjurus mereka ke kancah jenayah terutama apabila memikirkan makan minum anak isteri pula. Oleh itu, kes ragut meningkat kerana banyak pekerja tidak mempunyai pekerjaan lalu beralih menjadi peragut untuk menyelesaikan masalah mereka secara mudah.

Seterusnya masalah ini bertambah serius kerana kegagalan pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan yang efektif. Kekurangan kamera litar tertutup di kawasan-kawasan berisiko tinggi menyebabkan masalah ini terus menjadi-jadi. Jika kerajaan memasang lebih banyak kamera seperti ini sudah pasti penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak. Oleh itu, kekurangan kamera litar tertutup telah menyebabkan masalah ini berterusan terutama di kawasan sunyi dan ketika waktu malam.

Kemelut ini turut ditimbulkan akibat kekurangan didikan keagamaan terutama terhadap generasi muda kita. Amalan agama sudah makin dilupakan berdasarkan semakin moden sesebuah masyarakat itu. Kekurangan aspek agama menyebabkan kurangnya ketahanan diri seseorang untuk tidak melakukan jenayah. Sudah hilang rasa takut akan balasan Tuhan jika melakukan kesalahan jenayah. Maka, ragut meningkat kerana masyarakat kita sudah lupa akan agama mereka.

Akhirnya, semua pihak harus berganding bahu untuk menyelesaikan masalah jenayah ini tanpa perlu menuding jari mencari kesalahan pula. Sementara itu pihak kerajaan harus mencari alternatif untuk menangani isu pembuangan kerja ketika kegawatan ekonomi untuk memastikan jenayah ini tidak merebak. Kegagalan mengawal jenayah ini mampu menjejaskan imej negara pada mata masyarakat dunia. Mungkin peribahasa ”sudah terhantuk baru tengadah” memberikan kita satu pandangan supaya bersedia sedia sebelum masalah itu berlaku.

Kes ragut di sekitar kampus Universiti Kebangsaan Malaysia turut semakin menjadi-jadi. Kini, sudah tiga kes ragut telah dilaporkan di Wisma Aman dalam tempoh dua minggu. Ditambah pula dengan kesibukan semua pihak dalam menguruskan pesta Konvokesyen ke- 40 UKM, si peragut ini mengambil kesempatan menunjukkan taringnya. Setakat ini, mangsa si peragut adalah golongan pelajar perempuan. Oleh itu, langkah berjaga-jaga perlulah di ambil setiap masa tidak kira di mana jua kita berada.

Kejadian terbaru, seorang pelajar perempuan yang berhenti di tepi jalan di sekitar tapak Pesta Konvokesyen UKM telah diragut. Kondisi begnya ketika itu adalah berada di dalam raga motosikal. Kejadian berlaku sekitar jam 10 malam. Oleh kerana kejadian itu berlaku dengan terlalu cepat, peragut masih gagal untuk ditangkap.

Beberapa tips yang berguna untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa ragut adalah dengan sentiasa mempunyai prinsip waspada atas harta benda kita. Diikuti dengan langkah-langkah berjaga-jaga seperti sentiasa berteman jika mahu ke mana-mana lebih-lebih lagi pada waktu malam, berjalan melawan arus lalu lintas kenderaan, memastikan beg berada pada posisi yang sukar untuk diragut, dan berjalan di kawasan yang ramai orang lalu lalang. Jika kejadian ini tetap berlaku, segera melaporkan kepada pihak yang berwajib.

Persoalan di sini sangat mudah namun susah untuk di ambil perhatian. Diri sendiri harus berjaga-jaga dalam memastikan barang-barang kita yang berharga sentiasa berada dalam kondisi yang selamat. Sikap ambil mudah dan lalai inilah yang membuka ruang kepada peragut untuk mudah menjalankan kegiatan haramnya. Kadang kala, kita juga yang memberi peluang kepada mereka untuk melakukan kegiatan tanpa kita sedari, bak kata pepatah, orang mengantuk disorongkan bantal. Mudah, setiap yang berlaku ini, kita pandang pada kesilapan diri sendiri dan harus percaya ada hikmah di atas setiap sesuatu.

Kejadian ini sememangnya akan menimbulkan keresahan pada setiap pelajar yang berada dalam kawasan kampus. Oleh itu, peranan daripada pihak berkaitan perlu diperluas bagi mengatasi masalah ini.

Slide1

3.0  TANAH RUNTUH

Tanah runtuh merupakan salah satu daripada fenomena geobencana yang sering berlaku sama ada secara semula jadi atau akibat aktiviti manusia. Proses kejadian tanah runtuh melibatkan gelongsoran tanah atau pergerakan tanah dari satu kedudukan yang tidak stabil dan ianya berlaku secara pantas atau perlahan oleh tarikan graviti. Sekiranya ia berlaku secara kecil-kecilan dan perlahan, ia mungkin kurang membahayakan alam. Tetapi jika ia berubah kepada skala yang lebih besar dan pantas, ia boleh memberi kesan buruk dan mengakibatkan kemusnahan dan kematian pada sesuatu kawasan.

Kejadian tanah runtuh merupakan salah satu daripada proses susutan darat yang disebabkan oleh ketidakstabilan jisim tanah. Ia merupakan masalah utama yang dihadapi oleh beberapa negara terutama di kawasan tanah tinggi dan di kawasan yang berisiko gempa bumi dan gunung berapi.

Beberapa konsep asas tentang tanah runtuh dapat dinyatakan. Pergerakannya adalah dari kawasan tinggi ke kawasan yang rendah iaitu mengikuti cerun akibat tindak balas terhadap daya tarikan graviti. Pergerakannya boleh disertai dengan agen pembawa seperti aliran air ataupun tidak.

Kejadian tanah runtuh yang disebabkan oleh aktiviti manusia adalah seperti penarahan kawasan bukit, perlombongan dan aktiviti pembangunan lain. Pergerakan runtuhan tanah boleh diklasifikasikan secara asas sebagai jatuhan batuan atau debris, gelongsoran batuan atau debris, aliran debris atau lumpur dan gelinciran ais (avalanches). Bukit-bukit ditarah untuk pembinaan jalan raya ataupun bangunan-bangunan.

Selain itu, permulaan pergerakannya juga boleh berpunca dari gegaran gempa bumi, letusan volkano atau pengaliran air bawah tanah. Ia adalah proses semula jadi di mana tekanan menyebabkan bahan tanah perlu bergerak untuk mengalami penstrukturan semula supaya menjadi lebih stabil.

Komposisi runtuhan tanah boleh terdiri daripada sedimen bersaiz lumpur, batu pasir, gravel dan pebel atau bongkah-bongkah batuan. Bahan batuan yang bercampur tanah disebut debris atau puing. Bahan-bahan ini dipercayai mengalami kegagalan akibat beberapa faktor penyebab. Kandungan bahan gagal ini boleh mencapai jumlah yang besar sehingga 1,000,000 meter padu dan mengakibatkan kemusnahan yang besar kepada kawasan sekitarnya.Photo1448

Kawasan bertopografi cerun lebih berisiko mengalami kejadian tanah runtuh akibat ketidakstabilan cerun berbanding kawasan yang agak landai dan rata. Walau bagaimanapun, risikonya seringkali sukar diramal dan dielak oleh manusia. Fenomena ini boleh mengakibatkan kemusnahan infrastruktur, pengangkutan dan merosakkan penempatan manusia. Terdapat pelbagai faktor dan contoh kejadian tanah runtuh yang sentiasa dikaji oleh ahli sains. Kajian yang lebih mendalam dan kesedaran di kalangan masyarakat perlu sentiasa diteruskan bagi mengurangkan kejadian tanah runtuh daripada berlaku dengan lebih teruk lagi.

Hakikatnya, terdapat tanda-tanda berlakunya tanah runtuh. Tetapi segelintir komuniti tidak mengambil berat mengenai tanda-tanda berlakunya kejadian ini. Antara tanda-tandanya adalah seperti penjelmaan mata air atau tanah basah yang melampau yang tidak pernah terdapat atau terjadi, retakan baru serta pembengkakan tanah, jalan atau kaki lima, ketandusan tanah pada “foundation” sesuatu pembinaan, struktur sampingan seperti kaki lima atau ruang lain bergerak daripada struktur utama rumah, keretakan ketara dan mendadak pada lantai konkrit, kepecahan serta kebocoran pada paip air, kecondongan pada tiang telefon atau elektrik, pokok, dinding penahan atau pagar, garisan lurus pagar menjadi bengkang-bengkok, pemendapan ketara permukaan jalan, dan pintu serta tingkap rumah tidak boleh ditutup dengan rapat seperti biasa

Isu kejadian tanah runtuh ini turut berlaku dalam kawasan Universiti Kebangsaan Malaysia, Kampus Bangi. Pada 10. November. 2012, kejadian tanah runtuh telah berlaku di susur jalan Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan. Musim hujan yang berlarutan merupakan salah satu daripada punca kejadian ini berlaku. Kejadian tersebut tidak merosakkan harta benda atau mencederakan sesiapa. Kerja-kerja pembaikan mengambil masa dalam beberapa hari. Pihak universiti juga telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian ini terus berlarutan dan lebih teruk. Misalnya menutup kawasan tanah runtuh tersebut dengan menggunakan plastik kanvas.

Oleh sebab berlakunya kejadian tanah runtuh ini, persekitaran pembelajaran pelajar menjadi terganggu disebabkan kebimbangan yang melanda dalam diri setiap pelajar. Isu keselamatan bagi setiap pelajar akan dipersoalkan dari semasa ke semasa sekiranya isu ini tidak dipandang serius.

18287_526078647421985_1179504566_n

KESIMPULAN

Kesimpulannya, berdasarkan isu-isu atau kejadian yang berlaku dalam kawasan kampus ini, jelaslah bahawa kualiti persekitaran amat penting dalam mempengaruhi budaya kehidupan sebagai seorang pelajar. Suasana keamanan dan keharmonian di dalam kampus sememangnya mempengaruhi kehidupan mahasiswa dan mahasiswi yang berada di dalam kampus. Sekiranya kawasan kampus berada dalam lingkungan yang aman, pelajar dapat menjalani proses menimba pengetahuan dengan selesa namun jika sebaliknya, pelajar proses pembelajaran pelajar akan terganggu.

Isu-isu kemalangan, kes ragut dan kejadian semula jadi tanah runtuh merupakan antara gangguan yang sememangnya mengancam keselamatan mahasiswa mahasiswi mahupun kakitangan yang berada dalam kawasan kampus ini. Hal ini seperti yang telah dibincangkan, dapat mengganggu keharmonian komuniti dalam kampus ini.

Individu yang memiliki sikap tidak ambil peduli terhadap hal-hal yang boleh menggugat keselamatan merupakan sebahagian daripada ancaman besar kepada keselamatan. Oleh yang demikian, dengan kerjasama yang erat dan persefahaman dari setiap individu yang akan menentukan terjaminnya kedamaian dan kebahagiaan hidup di kampus ini.

RUJUKAN

Diakses pada 14. Disember. 2012 :

http://eprints.utm.my/2979/1/74275.pdf

http://pendaftar.upnm.edu.my/index.php?option=com_content&view=article&id=95%3Alatar-belakang&catid=45&Itemid=91&lang=en

http://www.nre.gov.my/Malay/PusatInformasi/Info%20PTK/Bab%20Arahan%20Keselamatan.pdf

http://www.mkn.gov.my/mkn/default/main_m.php

http://gm-ukm.blogspot.com/2012/12/isu-semasa-rengit-yang-hangit.html

http://www.mpib.com.my/BM/pdf/Airasia/Definitions.pdf

http://www.efka.utm.my/thesis/IMAGES/3PSM/2006/3JGP/TRANS/PARTS2/fazilahba020024d06ttt.pdf

http://www.ukm.my/trafik/AKTA%20LALULINTAS%20UKM.pdf

http://www.ukm.my/zuhairi/Pengajaran/internet_projects/stag3072/Kump%203/Web-hlmn%20utma.htm

http://pembinaukm.blogspot.com/2012/10/ragut-di-ukm.html

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s